Saturday, January 29, 2011

Sepuluh ''K' ,

1. KECINTAAN
Elemen paling penting dalam persahabatan. Sebuah persahabatan akan mudah rapuh tanpa adanya kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada si pemilik cinta itu sendiri. Sebab itu kadang-kadang kita perlu meluahkan rasa cinta kita terhadap sahabat kita dengan mengungkap ' uhibbuka/i fillah' (bagi sahabat yang sama jantina) agar dia tahu betapa kita mencintainya , kerana Allah (Insya-Allah)

2. KASIH SAYANG
Ini lebih kurang sama sahaja maksudnya dengan kecintaan. Setelah wujud rasa cinta terhadap sahabat kita, maka kita perlulah mencurahkan kasih sayang kita terhadap sahabat itu. Namun harus diingat, kasih sayang tidak semestinya dipamerkan secara luaran. Adakalanya , hanya dengan mendoakan sahabat-sahabat kita , insya-Allah itu sudah memadai untuk membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka.

3. KEIKHLASAN
Bagi mendapat keberkatan dan rahmat Ilahi , persahabatan itu perlulah berserta dengan ikhlas. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat . Justeru itu bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hatinya budinya , bukan kerana rupa , pangkat atau harta yang dimilikinya.

4. KESETIAAN
Tidak dapat dinafikan , kesetiaan terhadap sahabat mampu mengukuhkan lagi persahabatan yang terjalin biarpun jarang bertemu. Setia terhadap sahabat bermaksud sentiasa ada bersama sahabat pada waktu susah ataupun senang, memberikan nasihat serta sokongan di saat dia memerlukan kita. Sekiranya berjauhan , kita boleh tunjukkan kesetiaan kita dengan sentiasa menghubunginya, bertanya kahabar serta perkembangannya. Apabila kita setia terhadap sahabat , maka kita akan diingati sehingga akhir hayat mereka.

5. KEBERANIAN
Apa yang dimaksudkan di sini ialah berani dalam berkata hal yang benar. Dalam persahabatan , kita hendaklah bersikap berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya, maka kita hendaklah berani mengaku kepadanya kesilapan yang telah kita lakukan. Selain itu , kita juga harus bersikap berani dalam menasihati sahabat , kerana sebagai sahabat , kita pasti mahukan yang terbaik untuknya
.
6. KEJUJURAN
Ini amatlah penting dalam sesebuah persahabatan. Jangan sesekali kita menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat kita , terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan sahabat kita itu. Biarpun pahit , bersikaplah jujur sepenuhnya kerana 'sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah jua'. Pembohongan itu pasti akan terbongkar jua. Dan pastinya ia sedikit sebanyak akan memberi kesan buruk kepada persahabatan yang sedia terjalin. Ada kemungkinan juga , sahabat kita itu menjadi kurang (mungkin juga langsung hilang) kepercayaan terhadap kita. Begitu juga kita tidak perlulah menyembunyikan apa-apa daripada sahabat kita. Janganlah berahsia , melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan.

7. KEMAAFAN
Sekiranya sahabat kita pernah melakukan kesilapan , bersedialah memaafkannya, tidak kira sebesar manapun kesalahannya terhadap kita. Ini kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang sedia memaafkan sahabatnya. Jika sebaliknya kita yang melakukan kesilapan, maka janganlah kita teragak-agak atau malu untuk meminta maaf daripadanya, kerana orang yang terlebih dahulu meminta maaf adalah orang yang hebat.


8. KESEDIHAN
Apabila kita sedar bahawa sahabat sedang bersedih, maka ikutlah sedih bersamanya. Pinjamkanlah telinga kita untuk mendengar setiap luahannya, dan tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tempat tadahan air matanya. Bersedihlah bersamanya , namun pada masa yang sama berilah kekuatan kepadanya. Kerana insan yang dicarinya , bukanlah orang lain, melainkan kita sahabatnya.


9. KEGEMBIRAAN
Begitu juga dengan kegembiraan. Jika kita bergembira , maka marilah berkongsi kegembiraan itu bersama-sama sahabat tercinta. Tidak mahukan kita bergelak tawa dengan mereka, melihat mereka mengukir senyuman ? Kegembiraan kita kegembiraan mereka jua.


10. KESERASIAN
Apa yang dimaksudkan dengan keserasian di sini bukanlah dari segi paras rupa mahupun harta benda. Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza , namun keserasian antara dua pihak dalam persahabatan dapat diwujudkan apabila adanya persefahaman antara mereka. Dengan adanya persefahaman , ia akan membantu mengeratkan lagi hubungan kita dengan sahabat, sekaligus mengelakkan berlakunya pergaduhan.

No comments:

Post a Comment